SHAH ALAM - Seorang lelaki dipercayai pekerja warga Indonesia di pukul tanpa belas kasihan menggunakan seutas paip getah selepas didakwa mencuri wang syarikat dalam satu kejadian yang tidak diketahui lokasinya.
Dalam rakaman video berdurasi 2 minit 10 saat itu, lelaki tersebut yang mengerang kesakitan dilihat berulang kali merayu sambil menangis agar dia tidak dipukul.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan daripada mana-mana individu berkaitan kes berkenaan.
"Setakat ini, polis belum terima sebarang maklumat lagi," katanya.
Hasil pemerhatian wartawan Sinar Harian, jelas lelaki itu dipukul teruk dan berikut antara dialog semasa kejadian dirakam menggunakan video amatur.

"Aduh sakitnya tangan aku, mati aku bang…aku minta tolong jangan pukul lagi..saya sumpah bukan saya yang lakukan,” katanya.
Bagaimanapun, segala rayuan itu langsung tidak diendahkan oleh lelaki yang dipercayai rakyat tempatan dalam video berkenaan.
“Cakap, kamu sudah curi company punya wang (duit syarikat),” kata lelaki tersebut sebelum menendang muka pekerja yang tidak melawan.

Sementara itu, tinjauan di laman sosial mendapati rata-rata netizen berang dengan tindakan lelaki berkenaan dan meminta PDRM mengambil tindakan tegas.
Video itu menjadi viral sehingga mencetuskan kemarahan rakyat negara jiran, Indonesia.
Selepas 24 jam dimuat naik di Facebook, sebanyak 16,115 pengguna menekan butang 'like' dan lebih 88,405 berkongsi rakaman video itu di wall masing-masing


Video kejadian :